Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melihat  isu kelulusan judi bola menyebabkan kepimpinan Dato’ Seri Najib mulai  dipertikaikan oleh kepimpinan Umno yang lain. Semalam sayap Pemuda Umno  dan Puteri mereka menyertai Umno Perak, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu,  Johor dan Pahang membantah tindakan kepimpinan Najib yang mahu  meluluskan lesen judi bola untuk rakan baiknya, Tan Sri Vincent Tan.
Najib yang juga Presiden Umno kini  menerima tekanan yang kuat dan ini pertama kali berlaku sejak Najib  mengambil tampuk kepimpinan tertinggi parti itu tahun lepas. Jelas isu  judi menjadi kudis dalam pentadbiran Najib yang juga cucu kepada  Pengerusi Genting (Syarikat Judi terbesar negara) yang pertama, Tan Sri  Mohammed Noah bin Omar.
PAS sejak dari mula-mula ditubuhkan lagi  konsisten dengan perjuangan menentang judi. Dakwaan Mahathir bahawa PAS  hanya menentang judi bola adalah satu fitnah yang dangkal.  Beliau lupa  bahawa ketika beliau menjadi Perdana Menteri, PAS membantah kelulusan  lesen judi yang beliau hadiahkan kepada Syarikat Bukit Tinggi Resort  yang hampir muflis. PAS juga konsisten menentang pelbagai lesen judi  yang diluluskan zaman beliau. Sokongan beliau kepada Najib hanya  membuatkan orang memandang rendah kepada beliau.
PAS juga  mengucapkan tahniah kepada pihak Polis yang berjaya menahan dan  membongkar kegiatan bookie dan sindiket judi haram akhir-akhir ini.  Gerak kerja polis akhir-akhir ini membuktikan bahawa kerajaan mampu  menghapuskan sindiket judi haram dan tiada sebab mengapa judi harus  dihalalkan dengan pengeluaran lesen.
PAS tekad untuk menyokong himpunan  membantah Judi anjuran Gerakan Rakyat Membantah Judi. Oleh itu, semua  ahli PAS diwajibkan untuk turun pada 3 Julai ini bagi menunjukan  bantahan rasmi kepada dasar kerajaan yang jahil ini. Organisasi PAS  disemua peringkat diminta mengedar risalah kempen membantah judi dan  mengadakan program penerangan berkaitan isu ini dikawasan masing-masing.
PAS juga mengajak masyarakat Cina dan  India turun beramai-ramai bagi menafikan dakwaan Mahathir yang  mengatakan mereka adalah masyarakat yang suka berjudi. Pemimpin Umno  disemua peringkat juga dicabar untuk turut serta bersama rakyat dan NGO  yang membantah pemberian lesen judi ini.
Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ketua Penerangan PAS Pusat
