Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, wa lIllahil hamd.
Mari kita renungkan kisah pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim AS bersama anaknya Ismail AS sebagai pedoman untuk kita. Allah SWT telah merakamkan kisah ini sebagai suri teladan yang baik kepada para pejuang, lebih lebih lagi Nabi Allah Ismail di ketika itu masih lagi dalam umur dikategorikan sebagai belia atau pemuda. Pengorbanan ini merupakan perintah dari Allah SWT ketika Ibrahim mendapat wahyu melalui mimpinya. Ketaatan baginda berdua kepada Allah amat tinggi walaupun mereka sanggup mengorbankan nyawa dan kasih-sayang.
Ianya tersebut dalam Surah As Shaaffat bermula dari Ayat 102 hingga 108 yang maksud : “Maka tatkala anak itu (Ismail) sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Wahai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab: “Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.”Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran mereka berdua). Dan Kami Memanggilnya: “Hai Ibrahim,sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu[1284] sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar[1285] . Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian,”
[1284]. Yang dimaksudkan dengan membenarkan mimpi ialah mempercayai bahawa mimpi itu benar dari Allah SWT dan wajib melaksanakannya.
[1285]. Sesudah nyata kesabaran dan ketaatan Ibrahim dan Ismail AS. maka Allah melarang menyembelih Ismail dan untuk meneruskan korban, Allah menggantikannya dengan seekor sembelihan (kambing). Peristiwa ini menjadi dasar disyariatkannya Qurban yang dilakukan pada hari Raya Haji atau Hari Raya Korban.
Setiap ibadah korban mestilah disertakan dengan keikhlasan semata-mata kerana Allah. Allah SWT Berfirman mengenainya di dalam Surah Al An’aam pada Ayat 162 yang bermaksud : “Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadat (korban) ku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.”
Tanpa keikhlasan, maka sia-sialah ibadah korban itu, sebagaimana peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh kedua-dua putera Adam AS iaitu Habil dan Qabil yang mana Habil mengorbankan kambing ternakannya yang paling baik untuk dikorbankan sebagai tanda keikhlasannya yang mana di ketika pengorbanan dilakukan tiada siapa yang melihatnya kecuali Allah SWT lalu pengorbanannya diterima Allah.
Tetapi berbeza dengan Qabil yang mengorbankan hasil tanamannya yang hampa dan kering serta busuk yang disangkanya pengorbanan itu hanya arahan dari ayahandanya tanpa dia menyedari bahawa penipuan yang dilakukannya itu sedang diperhatikan oleh Allah SWT, Tuhan Yang Maha Memerhatikan.
Lantaran itu, Allah SWT menerima pengorbanan Habil dan menolak pengorbanan Qabil. Akhirnya Qabil rasa tertekan lantaran Habil lebih disayangi oleh ayahanda mereka, Adam AS. Justeru kerana kedengkian dan iri hati yang meluap, Qabil bertindak mahu membunuh adiknya, Habil. Dengan tanpa ingin rasa melawan, Habil rela mengorbankan dirinya kerana kasihnya terhadap abangnya, Qabil.
Allah SWT Merakamkan kisah mereka berdua ini dalam Surah Al Maaidah bermula Ayat 27 hingga 30 yang bermaksud, “Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): “Aku pasti membunuhmu!.” Berkata Habil: “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.” “Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam.” “Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan (membawa) dosa (membunuh)ku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka, dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim.” Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnyalah, maka jadilah ia seorang diantara orang-orang yang merugi.”
WAllahua’alam ….
Tiada ulasan:
Catat Ulasan