[Percaya kepada qada dan qadar adalah mempercayai bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Allah semata-mata. Sebagai seorang Islam wajiblah kita sedar bahawa kita adalah makluk yang lemah, bahawa Allah itulah yang maha Perkasa dan maha Berkuasa dan segala sesuatu adalah berlaku dengan ketetapanNya sahaja. Lantaran itu kita wajib beriman kepada takdir, bahawa segala sesuatu telah ditentukan oleh Allah.
Walaupun begitu kita masih boleh berusaha dan berdoa kerana dengan limpah rahmatnya, Allah mampu mengubah takdir kita.]
Ada kaitan peristiwa yang berlaku dibawah ni.....
Cyberita: Sepuluh Penumpang Maut Dan Tiga Lagi Tercedera Akibat Kemalangan Bas Sani Ekpress Di KM272.8 Lebuhraya Utara Selatan Awal Pagi Tadi
IPOH, 26 Dis [11.35 am] - Sepuluh penumpang maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas dua tingkat Sani Express (foto), terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi ini.
Ketua Polis Trafik Negeri, Supt Wan Abdullah Ishak, berkata 12 mangsa itu adalah penumpang di tingkat bawah bas itu dalam kejadian pukul 1 pagi itu. "Dua pemandu bas itu dan 36 lagi penumpang selamat," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Mereka yang terbunuh adalah Shaharin Mohd Nor, 61, dan isterinya Supiah Adam, 46, dari Taman Setia, Klang, Selangor; Musa @ Ismail Abdullah, 64, dari Gurun, Kedah; Mohd Shukri Mohd Ali, 22, dari Sungai Besar, Selangor dan Noor Jismi Noordin, 25, dari Kangar, Perlis. Mohd Bilal Osman, 22, dari Sungai Besar, Selangor; dua beradik Ng Kah Kit, 14, dan Ng Poh Ngoh, 23, dari Alor Setar, Kedah, Sharifah Raheel Al-Junid Syed Harun, 21, dan adiknya Sharifah Hasanah, 15, dari Sungai Petani, Kedah.
Katanya, penumpang yang cedera parah dikenali Md Razip Fadzir, 43, seorang anggota tentera manakala penumpang yang cedera ringan ialah Siti Munira Hashim, 30, dari Langgar, Kedah. Katanya, Md Razip kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini manakala mayat mangsa yang maut juga dibawa ke hospital yang sama untuk bedah siasat. "Siti Munira pula menerima rawatan pesakit luar di hospital yang sama akibat kecederaan di muka," katanya. Beliau berkata, bas ekspres itu berlepas dari Klang, Selangor pada 9 malam tadi menuju ke Kangar dan membawa 48 penumpang.
"Di tempat kejadian, bas itu tiba-tiba terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya. Ia kemudiannya melantun serta merempuh pula pembahagi jalan di sebelah kanan lebuh raya sebelum berhenti," katanya. Beliau berkata, besi daripada pembahagi jalan yang menusuk masuk ke dalam bas selepas rempuhan yang pertama (rempuhan di sebelah kiri) menyebabkan kematian dan kecederaan penumpang berkenaan.
Wan Abdullah berkata, pemandu bas ketika kemalangan itu telah ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Difahamkan pemandu yang ditahan itu baru sahaja mengambil giliran memandu selepas bas itu berhenti di Hentian Sebelah, Simpang Pulai dekat sini sebelum kejadian. Sementara itu, seorang daripada penumpang yang terselamat, Marziana Mahmud, 24, mendakwa pemandu bas tersebut kelihatan mengantuk sebelum kemalangan tersebut. "Bas dipandu dalam keadaaan tidak stabil, terhoyong-hayang ke kiri...kanan sebelum kejadian," dakwa penjawat awam itu yang duduk di bahagian depan di tingkat atas bas berkenaan. Pada 13 Ogos 2007, seramai 20 orang terbunuh, manakala sembilan yang lain cedera, dua daripadanya parah, apabila sebuah bas ekspres terbabas sebelum terjunam ke dalam sebuah parit di KM229 Lebuh Raya Utara-Selatan di Bukit Gantang dekat Taiping.
[Seperti biasa, bila berlaku kemalangan maut yang melibatkan bas ekspress seperti ini maka mulalah kerajaan akan mengeluarkan berbagai arahan. Malah kementerian pengangkutan juga akan membuat pemantauan yang cukup rapi terhadap pemandu dan bas ekspress itu sendiri. Namun selepas beberapa ketika, ianya menjadi seperti "hangat-hangat tahi ayam" dan sekadar "melepaskan batuk ditangga" semata-mata.
Akhirnya penumpang terus menjadi mangsa pemandu-pemandu yang tidak berdisplin seperti ini. Nyawa melayang begitu sahaja, kerana kesilapan syarikat bas memilih pemandu yang benar-benar berwibawa dan bertanggungjawab. Bila ada pemandu yang mengantuk pun tetapi masih terus membawa bas, akhirnya beginilah jadinya. Kerajaan pula perlu bertindak konsisten dalam setiap peraturan yang dijalankan agar tiada lagi kejadian seperti ini berlaku pada masa hadapan. Salam takziah buat keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu].
Tiada ulasan:
Catat Ulasan