KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Masih ramai pakar sains dan teknologi Islam tidak sedar mereka juga tergolong dalam barisan pendakwah yang mampu membawa umat manusia menuju kebaikan.
Itulah pandangan yang diutarakan Pegawai Penyelidik Pusat Sains dan Teknologi di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Nurkumala Awang.
Menurut Nurkumula, pendakwah dari golongan ahli sains Islam tidak semestinya mempunyai latar belakang ilmu agama yang mendalam tetapi apa yang penting adalah matlamat mereka menyebarkan syariah Islam dan kebaikan beragama.
"Kebanyakan mereka ini dari latar belakang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama iaitu menyebarkan syiar Islam," kata beliau semasa membentangkan kertas kerja 'Para Tekno-Daei dan Persoalannya' pada Seminar Memperkasa Peranan Tekno-Daei: Cabaran Dalam Pembangunan dan Penggunaan ICT di sini baru-baru ini.
Menurut Nurkumala para ahli teknologi serta saintis Islam layak digelar golongan tekno-daei iaitu sekumpulan pendakwah yang menggunakan kepakaran teknologi terkini untuk meyakinkan orang lain terhadap sesuatu kepercayaan yang boleh membawa kepada kebaikan.
Tekno-daei adalah singkatan dari gabungan dua perkataan iaitu Teknologi dan Daei. Daei adalah bahasa Arab yang membawa maksud 'dakwah atau pendakwah'.
TEKNOLOGI DAN PENGARUHNYA
Nurkumala berkata teknologi sepatutnya hanyalah satu agen perubahan yang tidak dapat mengawal penentuan dan pemilihan seseorang individu untuk kegunaan teknologi dalam kehidupan seharian.
"Kita seharusnya tahu bagaimana untuk mengawal dan menguasai teknologi dan bukannya teknologi mengawal kehidupan kita.
Dalam tradisi Islam, bukan sahaja fungsi teknologi itu yang menjadi fokus tetapi yang lebih diutamakan adalah maklumat yang terkandung di dalamnya yang mana ia boleh memberi kesan kepada pembentukan minda dan tabiat.
Nurkumala berkata kaedah Facebook, Friendster, Twitter, Myspace antara contoh yang boleh dilihat sebagai ruang dan peluang yang boleh digunakan sebagai saluran dakwah.
"Mengapa tidak menggunakan kaedah yang sama seperti memasukkan kuiz ilmu Islam atau sembang bual Islam," katanya.
TEKNO-DAEI DISEBALIK IMPAK TEKNOLOGI
Sementara itu, Ketua Pengarah IKIM Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata arus teknologi yang berkembang cepat ini bukan sekadar memudahkan penyebaran maklumat tetapi boleh juga mengelirukan masyarakat.
Teknologi maklumat tidak terhad kepada penggunaan komputer dan sistem multimedia, ia boleh juga menjurus kepada bidang perfileman dan lukisan animasi kartun sebagai satu daripada teknik penyampaian yang berkesan, kata beliau.
"Saluran perfileman, animasi dan multimedia ini boleh menjadi wasilah untuk menerapkan betapa indahnya nilai Islam ke dalam minda kanak-kanak.
"Animasi adalah yang paling sinonim dengan kanak-kanak. Terdapat mesej seperti nilai jujur, bersih, ikhlas. Nilai itu yang kita nak tonjolkan agar boleh menjadi ikutan kanak-kanak," katanya.
ANIMASI
Nik Mustapha berkata mesej-mesej melalui animasi kini sudah dilukis menggunakan komputer yang kemudian disebarkan menggunakan laman sesawang, televisyen dan elektronik.
"Apa yang merisaukan, apabila terlalu banyak maklumat daripada pelbagai sumber yang tidak diketahui kesahihannya, ditakuti masyarakat akan berhadapan dengan kekalutan maklumat.
"Justeru menjadi tugas para tekno-daei untuk memberi pemahaman yang tepat bila ada kekeliruan tentang sesuatu maklumat terutama berkaitan antara sesebuah nilai dan fahaman agama," kata Nik Mustapha.
Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Mohd Farid Mohd Shahran berkata kepentingan teknologi tidak boleh diketepikan dalam proses penyampaian ilmu dan syiar Islam tetapi ada hadnya.
"Penggunaan filem dan kartun untuk menarik orang Islam agar menghayati agama adalah sesuatu yang bagus tetapi ia menjadi salah apabila ada pihak yang menggambarkan wajah tuhan, nabi, malaikat, syurga dan neraka kerana kita tak nampak bagaimana rupanya yang sebenar.
"Pendek kata, semua gambaran yang diberikan boleh diistilahkan sebagai bohong sebab tak siapa tahu gambaran yang sebenar tentang perkara-perkara tersebut" kata beliau.
Mohd Farid berkata dalam hal ini, tidak salah jika para daei hendak menggunakan teknologi sebagai wadah yang berkesan dalam menarik minat masyarakat supaya menggemari nilai-nilai murni dalam Islam tetapi ada had dan syarat yang perlu diikuti mengikut landasan syariat yang diberikan dalam al-Quran.
Katanya, dalam hal ini para daei perlu lebih agresif dalam menegakkan syariat yang terdapat dalam al-Quran dan sunnah terutama dalam memupuk nilai-nilai murni dalam minda kanak-kanak.
"Selain itu, ada perkara yang lebih membahayakan apabila didapati sebahagian kecil masyarakat cuba menggunakan teknologi seperti merakam suara penghuni dalam kubur atau mengambil gambar Malaikat Jibril.
"Sikap dan sifat sebegini jelas menggambarkan kekeliruan tentang ruanglingkup alam jasmaniah dan ruhaniah di samping menggambarkan sikap ekstrem terhadap penggunaan teknologi dalam agama," katanya.
TEKNO-DAEI RELEVAN
Kata Nurkumala seharusnya perlu ada dalam diri setiap pendakwah untuk mendekatkan diri dan mempelajari teknologi agar penyampaian dakwah lebih mudah difahami dan memberi impak yang besar kepada pengguna.
"Ini membantu para tekno-daei supaya dapat mempertahankan Islam daripada diputar-belitkan menerusi teknologi di samping membantu mengelakkan umat Islam jauh ketinggalan dan terus dimanipulasikan," katanya.
Beliau berkata peredaran masa dan perkembangan teknologi yang begitu cepat menuntut pendakwah mendalami ilmu tersebut dan menilai impak yang bakal dihadapi masyarakat supaya tidak menjadi mangsa dan hamba kerakusan teknologi.
"Setelah mengetahui tentang tekno-daei dan teknologi itu sendiri yang membawa fahaman kepada perkaitan antara peranan seorang pendakwah terhadap perkembangan teknologi. Para tekno-daei juga perlu mengetahui akan persoalan teknologi itu sendiri.
"Secara dasarnya, seorang tekno-daei perlu mengenal pasti isu yang timbul daripada penggunaan teknologi agar syiar yang disebarkan mampu memberi kesan sekali gus meningkatkan martabat Islam di mata dunia," katanya.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan