OLEH : MUHAMMAD ZIRR
Sejak merdeka, negara kita telah membangun dengan terbinanya banyak bangunan-bangunan baru, kampung-kampung dan bandar-bandar baru termasuk kilang-kilang yang besar. Ini kita anggap sebagai kerja-kerja mengisi ruang kemerdekaan yang telah kita kecapi. Semua yang kelihatan pada zahir ini, adalah benda fizikal yang tercipta dari perlaksanaan kata-kata iaitu dari janji-janji yang ditabur dalam pilihan raya yang lepas-lepas. Pencapaiannya tidak kita ragui sama sekali.
Semua ‘benda-benda fizikal’ ini dibina menerusi wujudnya institusi-institusi penting, iaitu institusi legislatif (perundangan), eksekutif (pelaksanaan) dan kehakiman. Ketiga-tiganya penting, ia merupakan tulang belakang kepada sistem pentadbiran negara. Namun, sistem ini telah dimanipulasi oleh pihak eksekutif dengan menggunakan institusi legislatif untuk kepentingan politik dan peribadi segelintir pemimpin negara. Sesuai dengan kata bidalan, sambil menyelam minum air.
Salah guna kuasa (dalam maksud lebih besar) berlaku hanya apabila golongan elit yang punya kuasa tanpa had atau gagal dihadkan oleh legislatif dan kehakiman. Hampir mustahil seorang yang berjawatan “biasa”, misalnya, sebagai Penolong Pegawai Tadbir atau Penghulu, mampu memanipulasi atau mengarah pihak legislatif untuk menipu demi kepentingan beliau atau kumpulannya. Dan, apa yang telah kita lihat akhir-akhir ini, pihak legislatif dan eksekutif telah bersekongkol memanipulasi sistem tanpa segan silu lagi. Maka inilah yang dimaksudkan dengan krisis, masalah budaya dan amanah yang songsang, telah merosakkan sistem pentadbiran kita.
Pakatan Rakyat berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk memulihkan sistem yang telah rosak ini. Dalam keghairahan kita berjuang, harus jangan kita lupa bahawa krisis ini terjadi secara anai-anai, bukan bermula sejak lima atau sepuluh tahun lalu, tetapi ia membarah sedikit demi sedikit dan penyakit ini disumbangkan oleh banyak pihak, khususnya elit pemerintah. Dan, untuk mengatasi dan memperbaikinya juga bukanlah usaha sepenggal atau dua penggal (merujuk kepada penggal pemerintahan kerajaan lima tahun), sebaliknya ia adalah usaha yang berterusan.
Kita tidak mahu krisis ini diwariskan kepada generasi akan datang. Kejahilan yang telah berlaku harus kita ubah dan tinggalkan. Kita berubah untuk memastikan hak warga dibela, keadilan dilaksana dan hasil kekayaan dikongsi dan diagih secara adil kepada masyarakat. Ini adalah tuntutan mutlak yang tidak akan berubah-ubah sepanjang zaman.
Rakyat Malaysia masih belum melupai keangkuhan, kealpaan dan kezaliman UMNO terhadap rakyat dalam banyak perkara. Diam tidak bererti rakyat lupa, sepertimana anggapan Tun Mahathir dalam sajaknya ‘Melayu Mudah Lupa’. Sebaliknya beliau sendiri yang lupa bahawa diam-diam rakyat Malaysia adalah disebabkan sifat kemaafan yang diwarisi sejak berkurun dahulu. Beliau juga lupa bahawa bila rakyat sudah jemu dengan salah guna kuasa UMNO dan BN, maka mereka pasti akan bertindak seperti mana pada pilihan raya 2008.
Jemu dan marah tak ke mana jika tidak dihalakan ke arah tuju yang tepat. Maka itu Pakatan Rakyat mengemukakan cadangan-cadangan asas untuk membawa perubahan yang benar-benar diperlukan rakyat.
BUKU JINGGA adalah jawapan konkrit Pakatan Rakyat untuk membawa rakyat dan negara kita ke arah satu tahap perubahan penting dalam sejarah negara semenjak merdeka. Inilah yang menjadi latar dan intipati BUKU JINGGA. Sampaikan dan kongsikan kefahaman kita kepada semua. Hanya dengan maklumat betul, maka rakyat akan mengetahui dan dengan pengetahuan ini jugalah maka perubahan akan berlaku.
Kerangka Asas
Pertama – demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat.
Kedua – memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk mem jana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil.
Ketiga – keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh.
Keempat – Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.
Kempat-empat kerangka asas yang telah dinyatakan dalam BUKU JINGGA adalah bersandarkan kepada Perlembangaan Persekutuan yang mana ia menjadi tonggak perjuangan sah Pakatan Rakyat. Tanpa “kiblat” yang betul, pasti perjuangan ini akan menjadi sia-sia. Sebaliknya di pihak Barisan Nasional, mereka tidak akan mampu lagi memesongkan niat dan arah perjuangan kita. Maka, hanya dengan kefahaman dan keyakinan sahaja yang akan dapat membebaskan bangsa kita dari jalan kejahilan kepada jalan kebijaksanaan. Kebijaksanaan ini juga akan kita kongsikan bersama dengan rakyat.
Perlembagaan – Pakatan Rakyat berjanji kepada seluruh rakyat Malaysia, yang mana janji ini juga adalah sumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan segala isi yang termaktub di dalamnya. Maka tidak timbul lagi isu-isu yang mempersoalkan komitmen Pakatan terhadap Bahasa, Institusi Raja Berperlembagaan, Kaum dan Agama, kerana semua ini (yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan) telah dijamin untuk terus dipelihara, noktah. Jika isu-isu ini terus dimainkan dengan provokasi-provokasi esktrem, nyatalah ia hanya pembohongan untuk menghakis keyakinan rakyat. Yakinlah bahawa perubahan tidak dapat dielakkan lagi.
Institusi – Inti kepada pendemokrasian sejagat yang menjadi perjuangan Pakatan Rakyat juga bertujuan untuk mengubah persepsi buruk masyarakat terhadap institusi-institusi yang dahulunya dihormati seperti Institusi Kehakiman, Polis, Pendidikan dan Perguruan serta Perkhidmatan Awam keseluruhannya. Institusi sepenting ini harus dirombak bagi memastikan ia berfungsi menurut peranannya. Dengan adanya institusi yang berwibawa, negara dan rakyat pasti mendapat manfaat yang besar. Pelabur-pelabur sudah tidak takut untuk berniaga dengan kita, masyarakat juga akan merasa terjamin baik peluang pekerjaan, perniagaan dan keselamatan pada batang tubuh mereka.
Perlembagaan dan Institusi yang luhur bukan hanya sekadar ungkapan bahasa dan kata-kata indah, sebaliknya ia adalah realiti yang harus dilaksana dan dinikmati oleh kita rakyat Malaysia.BUKU JINGGA juga adalah manifestasi (penzahiran) muafakat antara DAP, PKR, PAS dan juga Rakyat sendiri. Dengan semangat dan sokongan rakyatlah maka Pakatan Rakyat akan terus memimpin dan memperjuangkan prinsip dan cita-cita yang terkandung didalam BUKU JINGGA.
Kita amat memahami bahawa perjuangan ini pastinya menuntut perubahan minda, pendekatan dan sistem. Tanpa perubahan pada perkara-perkara asas ini, usaha kita tidak akan tercapai. Seperti kata pepatah, perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan. –
-: Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan