KUALA LUMPUR, 16 Jun: Ratusan laporan polis yang dibuat oleh Umno dan sekutunya terhadap perhimpunan Bersih 2.0 membuktikan bahawa golongan itu akan terus mempertahankan segala ketidakadilan dan kepincangan dalam sistem politik negara.
“Bahkan mereka akan terus mempertahankan keburukan sistem ini semata-mata bagi mengekalkan pengaruh dan kekuasaan mereka,” bidas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.
Mengulas lanjut mengenai laporan media pro-Umno yang menyebut lebih 350 laporan polis sudah dibuat oleh “pelbagai pihak” terhadap Bersih 2.0, beliau berkata sepatutnya golongan itu melihat secara rasional kenapa perhimpunan Bersih perlu diadakan.
“PAS ingin tegaskan bahawa himpunan ini diadakan setelah pelbagai saluran digunakan bagi memperbaiki sistem politik negara tidak mendatangkan hasil.
“Pelbagai dialog, diskusi, laporan polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) telah dibuat bagi memperbaiki kelemahan dalam perjalanan sistem pru di Malaysia, namun sayangnya tiada sebarang tindakan diambil,” tambahnya.
Tambah beliau, himpunan itu bukan dibuat suka-suka bagi menimbulkan kegawatan atau mengganggu ketenteraman awam sebagaimana yang dibimbangi oleh orang ramai.
Malah, katanya diskusi dan rundingan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan terus diadakan sebelum perhimpunan Bersih 2.0 berlangsung 9 Julai ini.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata perhimpunan Bersih 2.0 bakal berjalan lancar dan aman sekiranya tiada provokasi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Dengan ratusan petugas unit amal dan kawalan pemuda Pakatan Rakyat kita yakin ia mampu berjalan dengan aman dan baik,” kata beliau.
Laporan polis yang dibuat Umno, kata Tuan Ibrahim juga mencerminkan sikap double standard mereka kerana muktahir ini merekalah yang menjadi juara dalam menganjurkan demonstrasi di negeri Pakatan Rakyat.
“Sayangnya, pasukan polis hanya ‘boleh’ menonton sahaja walaupun demo tersebut bersifat provokasi agama dan kaum,” katanya dengan kesal.
Tuan Ibrahim turut berkata sebenarnya ia adalah amat mudah bagi kerajaan untuk mengatasi himpunan Bersih 2.0 bulan depan.
“Terimalah saja tuntutan Bersih 2.0 kerana ianya bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk dilaksanakan,” kata beliau.
Beliau juga mengingatkan kerajaan bahawa segala tindakan menyalahgunakan kuasa atas nama demokrasi hanya akan menanam kemarahan rakyat.
Oleh itu, adalah amat perlu untuk kerajaan menyediakan saluran bagi melempias kemarahan dan rasa tidak puashati rakyat, tambah beliau.
“Tunaikan tuntutan atau sedia hadapi himpunan aman rakyat.
“Tujuan kami amat senang, jelas, mudah difahami dan mampu dilaksanakan kerajaan iaitu satu demokrasi yang lebih adil untuk semua demi kebaikan negara,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan