Jabir bin Abdillah ada bercerita bahawa, satu hari Abu Bakar as-Siddiq datang ke rumah nabi SAW. sesampai di rumah itu, Abu Bakar melihat ramai orang duduk di hadapan pintu rumah Nabi.
Abu bakar menjenguk ke dalam rumah nabi, kelihatan di dalam rumah, bahawa Nabi SAW duduk ditengah, dan dikelilingi oleh semua isteri-isterinya. Melihat demikian, Abu Bakar meminta izin dari nabi untuk masuk tetapi tidak diizinkan oleh Nabi SAW.
Tidak lama kemudian, Umar bin Al-Khattab pula tiba. Pada peringkat awalnya, Umar juga meminta izin untuk masuk, juga tidak diizin oleh Nabi SAW.
Sejenak kemudian, Nabi SAW memberitahu kepada Abu bakar dan Umar, bahawa Nabi SAW telah mengizinkan mereka berdua masuk ke dalam rumah.
Abu Bakar dan Omar pun masuk, dan mereka melihat ketika itu Nabi SAW masih lagi dikelilingi oleh
isteri-isterinya. Di kala itu, nabi SAW diam tidak berkata apa-apa pun.
”aku akan bercakap sesuatu kepada Nabi, agar baginda boleh tersenyum” bisik hati Umar.
”Wahai Rasulullah, jika anak perempuan Zaid – merujuk kepada isterinya – meminta sesuatu nafkah luar dari kemampuanku, sudah pasti aku akan memukul tengkoknya” tiba-tiba Umar bersuara.
Nabi SAW berpaling ke arah Umar, sambil melemparkan senyuman sehingga kelihatan gigi baginda yang putih.
”isteri-isteriku ini berada dikelilingku. Mereka meminta kepadaku nafkah yang aku tidak mampu” kata Nabi SAW.
Mendengar kata-kata Nabi SAW itu, menyebabkan Abu Bakar As-Siddiq bangun berjalan menuju kepada Aisyah. Kelaku Abu Bakar itu, seperti hendak memukul Aisyah.
Tidak sempat Abu Bakar melakukan sesuatu, tiba-tiba Umar juga bangun menuju kepada anaknya, Hafsah.
“apakah kamu meminta kepada Nabi SAW sesuatu yang Nabi Saw tidak mempunyainya?” begitulah soalan Abu Bakar kepada Aisyah, dan soalan Umar kepada Hafsah.
Melihat soalan bernada marah dari kedua-dua tokoh sahabat yang bertanya kepada anak masing-masing, menyebabkan Nabi Saw menyuruh kedua-dua sahabat besar itu bersabar, dan tidak marah kepada anak mereka masing-masing.
Ketika itu juga, turun firman Allah :
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ إِنْ كُنْتُنَّ تُرِدْنَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا * وَإِنْ كُنْتُنَّ تُرِدْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالدَّارَ الْآَخِرَةَ فَإِنَّ اللَّهَ أَعَدَّ لِلْمُحْسِنَاتِ مِنْكُنَّ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya :
“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: "Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya kuberikan kepadamu mut'ah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik * Dan jika kamu sekalian menghendaki (keredhaan) Allah dan Rasulnya-Nya serta (kesenangan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi siapa yang berbuat baik diantaramu pahala yang besar” (Surah Al-Ahzab : 28-29)
Dengan turunnya ayat ini, setiap isteri-isteri Nabi SAW ketika itu bersuara, “demi Allah, selepas daripada hari ini, kami tidak akan meminta sesuatu lagi kepada Nabi SAW sesuatu yang Nabi SAW tidak mampu berikan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan