KETIGA-TIGA pesalah wanita (membelakang gambar) yang telah menerima hukuman sebat
ketika ditemu bual oleh pemberita di Penjara Wanita Kajang, tempohari.
KAJANG 18 Feb. - "Kami reda disebat kerana di akhirat, hukuman sebenar nanti lebih berat dari hukuman di dunia," itulah luahan tiga wanita yang dihukum sebatan mengikut kaedah syarak pada 9 Februari lalu di Penjara Wanita Kajang, di sini hari ini.
Ketiga-tiga mereka melalui episod pengalaman yang sama iaitu melakukan persetubuhan haram sehingga melahirkan anak luar nikah.
Malah, ketiga-tiga wanita yang berusia antara 18 hingga pertengahan 20-an itu sanggup menerima hukuman atas keterlanjuran mereka di dunia ini apabila menyerah diri kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Berikutan itu juga, pasangan lelaki masing-masing turut menerima hukuman yang sama di Penjara Lelaki Kajang pada tarikh hukuman itu.
Menurut salah seorang daripada wanita itu yang dibebaskan pada 14 Februari lalu, hukuman sebat amat wajar dilaksanakan ke atas umat Islam yang telah melakukan dosa sepertinya supaya tidak terus hanyut dan bergelumang dengan dosa.
"Saya pernah dengar hukuman sebat ke atas penzina namun saya ingat pihak penguat kuasa akan beri denda sahaja dan tidak menyangka hukuman sebat itu benar-benar wujud.
"Saya terus bergelumang dengan dosa sehinggalah disahkan hamil dan sejak itu saya tidak melakukan zina lagi serta berjanji dengan pasangan akan mendirikan rumahtangga selepas melahirkan anak.
"Selepas selamat melahirkan anak yang kini berusia hampir setahun, saya dan pasangan menyerah diri kepada Jawi pada awal tahun ini," kata wanita berusia pertengahan 20-an ini yang dikenali sebagai 'Ayu' (bukan nama sebenar) ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan tiga pesalah wanita disabitkan di bawah Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari lalu.
Ini merupakan pelaksanaan hukuman sebat syariah kali pertama ke atas kaum wanita di dilaksanakan di negara ini.
Selain itu, terdapat empat pesalah lelaki turut menjalani enam kali sebatan pada hari tersebut atas kesalahan yang sama.
Ayu yang dibebaskan daripada hukuman penjara dua bulan pada 14 Februari lalu, secara sukarela tampil hari ini untuk menceritakan sendiri detik-detik yang dilaluinya.
Pengakuan itu, menurutnya, semata-mata atas rasa tanggungjawab sebagai saudara sesama Islam agar tiada yang mencontohi kesalahan lalu yang dilakukannya.
Dia yang turut didenda sebanyak RM1,000 dengan empat kali sebatan mengakui tidak berasa sakit ketika disebat tetapi ia memberi kesan mendalam dalam kehidupannya untuk menjadi umat Islam yang lebih baik daripada sebelum ini.
"Pengalaman beberapa minit disebat itu benar-benar membuka mata dan hati saya bahawa tiada yang lain selain Allah, hidup dan mati saya kerana-Nya.
"Saya benar-benar bertaubat tidak mahu mengulangi dosa itu lagi dan benar-benar memohon pengampunan daripada-Nya," jelasnya.
Pengalaman sama turut dirasai oleh seorang lagi pesalah wanita yang ingin dikenali sebagai Aishah, 18.
Aishah menyerah diri kepada Jawi pada Disember lalu, selepas anak hasil persetubuhan haramnya meninggal dunia akibat tidak cukup bulan.
Wanita itu menerima hukuman penjara selama enam bulan, denda RM3,000 dan enam kali sebatan.
"Saya sedih membaca laporan akhbar berhubung pembuangan bayi yang semakin berleluasa. Ketika saya disahkan hamil, tidak terlintas di hati saya untuk membunuh janin yang tidak berdosa.
"Pada pendapat saya, orang yang membunuh bayi telah melakukan dua dosa besar dan semoga Allah memberi petunjuk kepada mereka," katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pesalah yang ingin dikenali sebagai Nur, berusia pertengahan 20-an menganggap dirinya insan terpilih kerana berpeluang mendapat hukuman di dunia atas keterlanjuran dirinya.
"Saya tidak menganggap apa yang saya lalui (disebat) sebagai satu hukuman tetapi bagi saya ia adalah peluang kedua untuk saya bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.
"Bagi saya ini satu tanda kasih sayang Allah untuk saya lalui ujian seperti ini dan saya amat berharap orang ramai mengambil kisah ini sebagai pengajaran," jelasnya.
Nur yang sudah memiliki anak berusia 3 tahun hasil hubungan haram dengan kekasihnya mengakui mengambil masa yang panjang untuk membuat keputusan mendirikan rumah tangga kerana 'kehilangan' wali.
''Sudah enam tahun ayah saya menghilangkan diri tetapi semua dosa yang telah saya lakukan ini bukan disebabkan faktor itu. Ia berpunca daripada diri sendiri," jelasnya.
Nur menerima hukuman 30 hari penjara dan enam kali sebatan tanpa dikenakan sebarang denda.
Sumber - www.halaqah.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan