iklan komersil

dewan pemuda pas kawasan ipoh timur 08013010068528 bank islam malaysia berhad

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN IPOH TIMUR 08013010068528 bank islam malaysia berhad

Rabu, Februari 10, 2010

Nasi Kandar Dengan Nama Jolokan "Nasi Ganja" Popular Di Ipoh (jalan yang kalsom)

Oleh Bnur Hanim dan Tajul Safuan

IPOH, 4 Feb (Bernama) -- Nasi kandar yang diperkenal oleh pendatang India Muslim yang berhijrah ke negara ini begitu sinonim dengan Pulau Pinang tetapi popularitinya merebak ke merata ceruk dan boleh dikatakan tiada bandar di negara ini tidak mempunyai restoran yang menyediakannya.

Malah hotel-hotel bertaraf lima bintang turut menyajikannya melalui pelbagai promosi yang sering dianjurkan.

Bagi bandar raya Ipoh, terdapat sebuah kedai "mamak" yang telah mencipta nama tersendiri hingga menjadi  tumpuan peminat nasi kandar tempatan dan dari luar sejak berpuluh tahun lepas.

Nama jolokan yang diberikan kepada hidangan yang disajikan di kedai berkenaan mungkin kurang "enak" malah berbau jenayah tetapi kedai 'Nasi Ganja' begitu terkenal di sini malahan dalam kalangan peminat dari luar Ipoh pun sudah lali dengan namanya.

Perniagaan yang dimulakan sejak awal tahun 60-an itu terus mendapat tempat di hati peminat dan penggemar nasi kandar disebabkan kelazatannya tetap sama walaupun tukang masaknya silih berganti.

NASI GANJA POPULAR SINONIM DENGAN IPOH

Kedai nasi berkenaan sebenarnya menumpang di sebuah Kedai Kopi Cina yang dikenali sebagai Restoran Yong Suan tetapi nama restoran berkenaan tenggelam dan tidak menjadi sebutan.

Restoran berkenaan terletak di Jalan Yang Kalsom dan bagi penduduk lama bandar raya Ipoh, kawasan kedai berkenaan lebih dikenali sebagai stesen bas Tanjung Rambutan kerana terletak berhadapan dengan stesen bas yang telah ditutup beberapa tahun lepas.

Antara lauk pauk yang menjadi kegemaran para pengunjungnya ialah Ayam Wangge, Ayam Merah, Ayam Hitam dan Daging Hitam.

Tiada siapa yang tahu bagaimana gelaran "Nasi Ganja" diberikan kepada kedai berkenaan tetapi tanggapan umum adalah kerana rasanya yang sedap seolah-olah membuatkan orang ramai terus setia atau ketagih untuk menikmatinya.

Pengusaha asal kedai nasi kandar tersebut, Kamal Naseer Abdul Rahman telah lama meninggal dunia dan tradisi perniagaan tersebut diteruskan oleh ahli keluarga.

RESIPI WARISAN KELUARGA

Waris Kamal, Nihmatullah Syed Mustafa, 44, berkata keistimewaan utama nasi ganja ialah lauk ayam merah yang dimasak menggunakan sambal kelapa yang tidak terdapat di mana-mana restoran yang lain.

"Nasi kandar ini menggunakan resipi kami sendiri. Kami menggunakan rempah yang digiling dan ia dibeli di Pulau Pinang," katanya.

"Biasanya, kami boleh menjual tidak kurang daripada 1,000 pinggan nasi kandar sehari," katanya.

Mengenai gelaran nasi ganja, Nihmatullah berkata beliau pun tidak tahu bagaimana ia tercetus dan memang ada pelanggan yang nakal sering bertanya sama ada resipi kedainya mempunyai "herba" terlarang itu.

Beliau berkata sejak dibuka 49 tahun lepas, 'nasi ganja' mendapat  sambutan yang amat baik daripada orang ramai termasuk daripada pelancong asing dari Singapura, Thailand dan Australia.

PELANGGAN PERLU BERATUR

Bagi pengunjung yang pertama kali, beliau meminta mereka bersabar jika ingin menikmati hidangan tengah hari kerana perlu beratur panjang untuk memilih lauk pauk.

Katanya, kebanyakan pelanggannya memberitahu bahawa keistimewaan 'nasi ganja' terletak pada ayam merah yang tidak boleh ditandingi mana-mana pengusaha nasi kandar lain.

Gelaran Ayam Wangge tercipta daripada laungan pekerja kedai berkenaan yang sering menjerit "Wangge, Wangge, Wangge" dalam bahasa Tamil yang bermaksud "marilah, marilah, marilah" kepada orang ramai yang lalu di hadapan restoran itu.

Sementara itu, pemilik kedai kopi, Yang Yong Suan, 58, berkata, sambutan hebat orang ramai ke atas masakan nasi kandar itu turut membantu melariskan jualan minuman dan roti bakar yang dijual di kedainya.

Katanya restoran itu diwarisi daripada mendiang bapanya.

PELANGGAN TURUN TEMURUN

Beliau berkata kedai nasi ganja di restorannya mendapat tempat di hati masyarakat kerana peminatnya terdiri dari pelbagai peringkat bangsa dan usia.

"Kebanyakan pengunjung yang ada sekarang mula makan di sini bersama keluarga sejak 20 tahun yang lalu...dulu mereka dibawa ibu bapa dan sekarang mereka membawa keluarga masing-masing pula.

"Kami juga ada pengunjung dari utara dan selatan tanah air yang singgah di Ipoh semata-mata untuk menjamu selera di sini," katanya.

Yang berkata suasana istimewa yang terdapat di restoran beliau ialah kehadiran pelanggan pelbagai bangsa iaitu Melayu, Cina dan India.

Katanya, pelanggan juga terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan mereka yang berpangkat besar sering duduk bersama menikmati hidangan.

Keunikan restoran itu ialah ia dijalankan secara perkongsian antara seorang tauke Cina yang menghidangkan minuman dan India Muslim yang menyediakan nasi berlauk.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan