Pemuda Umno Bantah Kenaikan Harga Gula
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno Malaysia hari ini membantah kenaikan harga gula yang diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan semalam.
Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Megat Firdouz Megat Junid dalam satu kenyataan media menegaskan perkara ini tidak patut berlaku walaupun kenaikan sekadar 20 sen ia tetap memberi impak negatif serta kesengsaraan kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana.
"Di saat dunia menjangkakan ekonomi akan beransur pulih, rakyat dikejutkan dengan kenaikan mendadak ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, Pemuda Umno berharap kenaikan harga gula dapat dibatalkan atau ditangguhkan demi menghayati konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan.
"Pemuda UUMNO sedar kerajaan Malaysia sedang mendidik rakyat agar mengurangkan pengunaan gula, tetapi dengan cara menaikkan harga gula..sebenarnya kerajaan (kementerian) membebankan rakyat," katanya.
Beliau berkata, kaedah lain boleh diambil bagi mendidik rakyat. Dalam konteks kenaikan gula mentah dunia, Pemuda Umno berharap kerajaan serta pengilang yang selama ini mengaut keuntungan, menanggung beban harga kenaikan agar rakyat Malaysia dapat menarik nafas lega meneruskan kehidupan seharian.
Katanya, Pemuda UMNO Malaysia juga berharap roti putih tetap disenaraikan sebagai bahan kawalan kerana khuatir pihak pengeluar roti akan sewenangnya menaikkan harga roti.
"Adakah roti selepas ini akan menjadi bahan makanan mewah? Rakyat Malaysia merungut, dan kami Pemuda UMNO akan sentiasa mendengar rungutan serta bersuara untuk rakyat," katanya.
Terdahulu pukul 12 tengah malam tadi, harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram iaitu RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak yang diumumkan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd Zain Mohd Dom.
Menurut beliau, kerajaan turut membuat keputusan tidak akan memberi subsidi bagi roti putih mulai esok (1 Januari 2010) dan barangan tersebut akan ditarik keluar dari skim kawalan harga.
Katanya, kenaikan harga gula sebanyak 20 sen itu perlu berikutan kenaikan harga gula mentah dunia dan kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM1.008 bilion setahun dengan kadar subsidi sebanyak 80 sen sekilogram.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan