iklan komersil

dewan pemuda pas kawasan ipoh timur 08013010068528 bank islam malaysia berhad

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN IPOH TIMUR 08013010068528 bank islam malaysia berhad

Ahad, Februari 21, 2010

Tiga wanita Islam disebat

PUTRAJAYA 17 Feb. - Di sebalik kontroversi hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 33, yang tertangguh sehingga kini, tiga wanita Islam telah menjalani hukuman sebat mengikut kaedah syarak pada 9 Februari lalu.
Dalam pelaksanaan hukuman sebat syariah kali pertama ke atas pesalah wanita itu, dua orang daripada mereka dikenakan hukuman enam kali sebatan manakala seorang lagi empat kali sebatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mereka telah disabitkan di bawah Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari lalu. 

Selain itu, beliau berkata, terdapat empat pesalah lelaki turut menjalani enam kali sebatan pada hari tersebut atas kesalahan yang sama. 

''Pada 9 Februari lalu, kira-kira pukul 10 pagi, hukuman sebat syariah telah dilaksanakan dengan sempurna ke atas tujuh pesalah syariah. 

''Berdasarkan temu bual dengan tiga pesalah wanita itu, didapati mereka telah reda, insaf dan bertaubat dengan hukuman yang diterima.

''Sebatan itu tidak mendatangkan kesan luka pada badan tetapi wanita tersebut mengakui ia memberikan kesan amat mendalam dalam diri mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet bagi kementeriannya di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, pesalah wanita tersebut melahirkan harapan mereka agar kaum wanita lain bertindak menjauhi perbuatan yang ditegah oleh agama.

''Salah seorang wanita tersebut telah dibebaskan pada 14 Februari lalu setelah menjalani hukuman penjara satu bulan.

''Seorang lagi akan dibebaskan beberapa hari lagi manakala seorang lagi pada Jun ini," katanya. Justeru, Hishammuddin berharap, isu sebatan syariah tidak disalah ertikan sehingga mencemarkan kesucian Islam. 

Katanya, hukuman itu adalah untuk mendidik dan memberi keinsafan agar mereka yang terlanjur dapat kembali ke pangkal jalan seterusnya membina hidup baru yang lebih baik. 

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pihaknya telah bekerjasama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dalam melaksanakan tugas tersebut.

Katanya, seramai 13 pegawai pelbagai agensi hadir semasa hukuman sebat syariah itu dilaksanakan.  Mereka terdiri daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), para pegawai agensi agama itu selain pegawai daripada Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara, Mahkamah Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri. 

''Saya ingin memaklumkan persiapan bagi melaksanakan hukuman sebat secara syariah telah lama dibuat oleh Jabatan Penjara.

''Persiapan itu antara lainnya termasuk pelantikan dan latihan pegawai sebat rotan wanita untuk pesalah syariah yang telah dimulakan pada penghujung 1990-an," katanya.

Katanya, apabila timbul isu mengenai sebatan secara syariah terhadap pesalah wanita pada 20 Julai lalu, pihaknya telah memanggil Ketua Pengarah Penjara serta pegawai sebatan bagi mendapatkan penjelasan selain melihat demonstrasi sebatan syariah pada 27 Ogos tahun lalu.

''Pada 4 September 2009, Jabatan Penjara telah mengadakan perbincangan melibatkan Jakim, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Peguam Negara.

''Hasil perbincangan dan demonstrasi yang ditunjukkan, semua bersetuju dengan tatacara pelaksanaan sebatan syariah yang digunakan oleh Jabatan Penjara," katanya.